Siasat pembuangan sisa sekitar laut Pulau Jerejak - Utusan Malaysia

Siasat pembuangan sisa sekitar laut Pulau Jerejak

SEBAHAGIAN daripada sisa buangan yang tersangkut pada pukat nelayan di sekitar Pulau Jerejak, Pulau Pinang dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab ke laut di sekitar pulau tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak pihak berkuasa berkaitan menyiasat tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang dan membakar bahan buangan, di Pulau Jerejak dekat sini.

Sambil melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu, Pengerusi CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan tersebut bukan saja menyalahi undang-undang, malah, mencemarkan alam sekitar di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, CAP menerima aduan daripada nelayan tempatan bahawa perbuatan tersebut telah lama berlaku, tetapi, tidak ada mana-mana pihak mengambil tindakan bagi mencegahnya daripada berterusan.

“CAP difahamkan kemungkinan pihak yang bertindak sedemikian adalah kalangan pengusaha ternakan ikan di dalam sangkar yang beroperasi berhampiran pulau tersebut.

“Selain itu, pihak tersebut juga membuang bahan yang sama terutama plastik ke dalam laut sehingga menjejaskan aktiviti tangkapan nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, nelayan-nelayan di situ bukan saja terganggu oleh sangkar ikan yang semakin bertambah di kawasan tersebut, malah, turut terancam dengan sisa plastik yang dibuang ke dalam laut.

Katanya, selain kipas bot nelayan mengalami kerosakan, pukat mereka juga memerangkap berbagai-bagai jenis bahan buangan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

“CAP bimbang jika masalah ini dibiarkan bukan sahaja boleh mencemarkan alam sekitar dengan lebih serius lagi tetapi juga akan mengancam hidupan marin dan keselamatan nelayan tempatan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam masa sama, Mohideen turut meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan mengenai kejadian itu kepada umum dan tindakan undang-undang yang diambil ke atas pihak yang dikenal pasti melakukan perbuatan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya