PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia menerima sembilan aduan berhubung majikan yang tidak membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) setakat hari ini.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, aduan itu diterima susulan penambahbaikan aplikasi working for workers (WFW) dengan memperkenalkan satu kategori baharu iaitu ‘Majikan tidak benarkan BDR’ yang dimulakan semalam.
Beliau berkata, kementerian menerusi jabatan-jabatan berkaitan akan menjalankan siasatan di bawah akta-akta yang berkaitan.
Menurutnya, maklumat siasatan itu akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau Kementerian Kesihatan terlebih dahulu.
“Siasatan akan dibuat sekiranya terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengenai aplikasi WFW, Saravanan berkata, kategori ‘Majikan tidak benarkan BDR’ diwujudkan mengambil kira pengumuman kerajaan yang menetapkan 40 peratus pekerja sektor swasta dikehendaki bekerja dari rumah berkuat kuasa esok bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
“Oleh itu mana-mana pekerja yang dipaksa oleh majikan untuk hadir ke pejabat dan bercanggah dengan sekatan tambahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diminta membuat aduan melalui aplikasi WFW ini.
“Langkah untuk mewujudkan kategori baharu ini secara dalam talian adalah inisiatif kementerian untuk mengurangkan pergerakan dan kehadiran secara fizikal pekerja yang ingin membuat aduan di mana-mana Pejabat Tenaga Kerja,” katanya.
Sementara itu Saravanan berkata, WFW telah merekodkan sebanyak 178 aduan setakat ini dan daripada jumlah tersebut, 105 aduan adalah oleh pekerja tempatan manakala selebihnya pekerja asing.
Beliau berkata, negeri yang merekodkan jumlah aduan tertinggi adalah Kuala Lumpur (75 kes) diikuti Selangor (44 kes) dan Johor (21 kes).
“Antara isu aduan yang kerap diterima adalah berhubung kelewatan pembayaran gaji, tiada pembayaran gaji, pemberhentian kerja tanpa notis, isu ketiadaan kontrak kerja dan lain-lain isu,” katanya.
Katanya, kementerian sentiasa komited untuk mengambil tindakan terhadap aduan dan maklum balas yang telah dikemukakan oleh pihak pekerja.
Aplikasi WFW yang dilancarkan 3 Mei lalu adalah satu platform bagi golongan pekerja untuk menyuarakan aduan serta permasalahan berhubung isu-isu perburuhan.










