Segerakan bantuan kepada rakyat - Utusan Malaysia

Segerakan bantuan kepada rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Pusat perlu mengumumkan segera bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat penutupan operasi perniagaan serta mereka yang hilang pekerjaan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) 1 Jun ini.  

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Muhammad Bakthiar Wan Chik berkata, bantuan itu antaranya pemberian Bantuan Sara Hidup (dahulunya Bantuan Prihatin Nasional) serta-merta kepada rakyat. 

“Ketika total lockdown dilaksanakan rakyat dibebankan dengan kemelut sosioekonomi tanpa dana dari Kerajaan Pusat yang memadai untuk kehidupan mereka. 

MUHAMMAD BAKHTIAR WAN CHIK

“Selain pemberian Bantuan Sara Hidup kerajaan juga perlu memberikan lanjutan bukan sahaja moratorium, tetapi pengampunan pinjaman bagi mereka yang layak (debt forgiveness),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown penuh fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan. 

Menurut beliau, program subsidi upah juga perlu diumumkan bagi membantu rakyat secara serius yang terlibat dengan pemotongan gaji bulanan akibat penutupan sektor ekonomi susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Tambah beliau, pihaknya juga mengesyorkan Zakat Pulau Pinang (ZPP) meningkatkan bantuan Covid-19 bagi semua penerimanya tahun ini. 

Dalam pada itu, Muhammad Bakthiar berkata, pihaknya menyokong usaha  program kerajaan negeri iaitu Penang SAFE untuk melindungi serta menjaga kebajikan pekerja-pekerja kilang.  

“Ini kerana kita harus mengawal dan memastikan Pulau Pinang kalis kluster industri menerusi pelaksanaan saringan massa (mass-testing) di zon perkilangan terutama di kawasan Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah. 

“Kerajaan negeri juga telah meluluskan kaedah saringan awal di tempat berisiko tinggi (melebihi 1,000 penduduk) di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di Pulau Pinang,” katanya. 

Tambahnya, permohonan juga telah dibuat supaya kelulusan Kerajaan Pusat diberi bagi pelaksanaan on-site vaccination kepada kilang yang mempunyai lebih 1,500 pekerja.  – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN