Segera luluskan saringan massa Covid-19 sampel air liur dalam sektor perkilangan - Utusan Malaysia

Segera luluskan saringan massa Covid-19 sampel air liur dalam sektor perkilangan

CHOW Kon Yeow
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang menggesa kerajaan Pusat meluluskan segera saranan supaya saringan massa Covid-19 menggunakan sampel air liur dilaksanakan dalam kalangan pekerja sektor perkilangan di negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, kaedah Deep Throat Saliva (DTS) itu turut disarankan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang menerusi cadangan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 7 Mei lalu.

Ujar beliau, kaedah itu wajar dilaksanakan segera kerana turut dicadangkan Ketua Pengarah Kesihatan pada mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Mei lalu.

Dalam masa sama, beliau turut berharap kerajaan Pusat meneliti cadangan mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 menerusi usaha sama dengan pihak swasta.

“Kira-kira 100 klinik swasta di bawah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS) bersedia menawarkan khidmat suntikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada penduduk di negeri ini.

“Sebagai tambahan, kerajaan negeri juga sudah menghantar surat berhubung tajaan vaksin oleh pihak swasta khas kepada rakyat Pulau Pinang yang mana kita masih mengharapkan ‘lampu hijau’ daripada kementerian-kementerian berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Kon Yeow, kerajaan negeri masih berpendirian pendekatan 3T iaitu mass testing (saringan massa); tracing (pengesanan kontak) dan treatment (rawatan) tidak pernah memperlihatkan kelemahannya dalam usaha memastikan rakyat Pulau Pinang terus dilindungi sepenuhnya.

Jelasnya, berdasarkan trend laporan kes yang dicatatkan di Pulau Pinang kini, adalah wajar penyumberan sumber manusia daripada sektor swasta atau lain-lain lapangan berkaitan dipergiatkan terutama dalam mempercepatkan pengesanan kontak serta kes-kes di lapangan.

“Selain segera mengasingkan pesakit-pesakit positif Covid-19, Jabatan Kesihatan negeri juga perlu mengambil tindakan drastik terhadap aspek dinyatakan dengan memberikan latihan perlu kepada mereka yang ‘terpilih’ supaya keupayaan fasiliti perubatan sedia ada kini tidak lumpuh sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN