Scammer minta mangsa bayar hutang ah long yang sudah dilangsai - Utusan Malaysia

Scammer minta mangsa bayar hutang ah long yang sudah dilangsai

NG Chen Yuan (dua kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya selepas seorang individu memintanya membayar hutang ah long yang telah dijelaskan pada sidang akhbar di Ibu pejabat MCA Bahagian Gelang Patah, Johor. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Seorang peniaga bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya selepas seorang ‘scammer’ menuntutnya membayar hutang berjumlah RM12,000 walaupun wang berkenaan telah dilangsaikan sebelum ini.

Mangsa, Ng Chen Yuan, 37, berkata, dia meminjam sebanyak RM14,000 daripada tiga kumpulan ah long berlainan pada awal Mac bagi kegunaan perniagaan gerai makannya ketika itu.

Katanya, dia kemudian dihubungi seorang individu yang mengaku boleh membantu melangsaikan hutang berkenaan dengan bayaran sebanyak RM10,000.

“Kerana percaya saya telah memberikan individu berkenaan sebanyak RM5,000 namun dia kemudiannya menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

“Saya kemudian berurusan secara terus ketiga-tiga ah long berkenaan dan melangsaikan sepenuhnya hutang pada hujung April,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA Bahagian Gelang Patah di sini semalam.

Chen Yuan berkata, tidak lama selepas itu dia dihubungi seorang individu memintanya membayar wang sebanyak RM12,000 sedangkan dia telah membuat pembayaran hutang berkenaan.

“Individu berkenaan menggunakan dokumen peribadi seperti salinan kad pengenalan dan gambar ahli keluarga untuk dipaparkan di pelbagai akaun Facebook mendakwa saya berhutang dengan pihaknya.

“Dia turut memaparkan gambar ibu bapa dan keluarga adik saya bertujuan untuk memalukan saya dan mengugut untuk membuat pembayaran seperti dimintanya.

“Saya telah menghubungi ketiga-tiga kumpulan ah long berkenaan dan bertanyakan perkara itu, mereka semua memaklumkan ‘scammer’ berkenaan bukan daripada pihak mereka,” jelasnya.

Sehubungan itu, mangsa telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Gelang Patah, masing-masing pada 22 dan 25 April lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon berkata, pihaknya meminta mana-mana individu yang berdepan situasi sama untuk tampil membuat laporan dan aduan.

“Kita juga berharap polis akan menjalankan siasatan terhadap perkara ini bagi memastikan individu tidak bertanggungjawab itu tidak menipu lebih ramai mangsa pada masa depan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN