Sawah tenggelam, rugi ratusan ribu - Utusan Malaysia

Sawah tenggelam, rugi ratusan ribu

Mohd. Faizal Mohd. Arif masuk ke dalam sawahnya yang tenggelam sehingga paras pinggang di Kampung Sungai Bakong, Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kira-kira 500 pesawah di negeri ini mengeluh apabila sawah padi mereka di kawasan seluas 896 hektar ditenggelami air sehingga paras pinggang dengan anggaran kerugian mencecah ratusan ribu ringgit berikutan hujan lebat kebelakangan ini.

Antara kawasan sawah terlibat ialah di Alor Banat; Kampung Teluk; Kampung Seri Gelam; Kampung Sungai Bakong; Kampung Sena dan beberapa kawasan lain.

Masalah tersebut didakwa sudah berulang kali berlaku, malah pesawah turut menyalahkan sistem saliran yang dikaitkan dengan projek pembinaan ampang rendah di Sungai Perlis, Pengkalan Asam di sini oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurut mereka, air bertakung itu akan surut dalam masa tiga hari, namun hujan boleh dikatakan setiap hari itu menyebabkan saliran air lambat turun sehingga mengambil masa seminggu untuk surut sekali gus menyebabkan tanaman terjejas.

Seorang pesawah dari Kampung Sena, Irwan Aziz, 39, berkata, sudah empat hari kawasan sawahnya tenggelam, dipercayai disebabkan sistem saliran yang perlahan.

Katanya, air di kawasan sawah tersebut yang tidak surut menyebabkan benih padi yang baharu ditanam itu rosak.

“Ini kali kedua petani di kawasan sekitar ini berhadapan masalah padi tenggelam. Pada musim lepas kami terpaksa tabur semula benih baharu akibat masalah yang sama.

“Bukan itu sahaja, hasil yang diperoleh musim lepas juga kurang kepada 1.3 tan metrik bagi kawasan 0.4 hektar berbanding 2.3 tan metrik bagi keluasan sama bagi musim sebe­lumnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang pesawah dari Kampung Sungai Bakong, Mohd. Faizal Mohd. Arif, 44, pula berkata, masalah tersebut menyebabkan benih padi rosak dan mereka terpaksa mengeluarkan modal baharu untuk tanaman semula.

“Kami mula tabur benih pada 10 Ramadan lalu, anak benih sudah mula naik tetapi sejak akhir-akhir ini air sudah mula bertakung di dalam sawah. Bila banyak hari tenggelam, anak benih padi akan jadi lembik dan rosak.

“Kalau dulu air bertakung memakan masa sehari sahaja akan surut. Jika masalah ini berlarutan (takungan) kami petani terpaksa menanggung kerugian kerana perlu membeli anak benih baharu tambahan pula melibatkan kawasan sawah yang banyak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengurus Wilayah 1 Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Zairizal Zainon berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu daripada pesawah sejak semalam yang memaklumkan padi mereka tenggelam sejak tiga hari lalu.

“Petani mengadu yang mereka terpaksa membeli dan menabur semula benih baharu dua tiga kali kerana masalah ini. Pada musim lalu pun mereka juga berhadapan dengan masalah sama namun ketika itu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberi pampasan kepada kawasan terlibat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN