Sarawak, Selangor boleh, mengapa Pulau Pinang tak boleh? - Utusan Malaysia

Sarawak, Selangor boleh, mengapa Pulau Pinang tak boleh?

CHOW Kon Yeow (kiri) dan Lim Guan Eng (kanan) dalam sidang akhbar mengenai isu bekalan vaksin di Komtar, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menuntut supaya Kerajaan Pusat membenarkan negeri ini mendapat bekalan vaksin Covid-19 sendiri sama seperti kebenaran diberikan kepada Sarawak dan Selangor.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang sebelum ini pernah ditawarkan sumbangan sebanyak dua juta dos vaksin itu oleh sebuah syarikat swasta pada Februari lalu.

Bagaimanapun jelas beliau, permohonan rasmi kerajaan negeri kepada Kementerian Kesihatan untuk menerima sumbangan vaksin itu ditolak menerusi jawapan balas yang diterima pada 12 Mac lalu.

Jelas beliau, Kementerian Kesihatan dalam jawapan itu antara lain berpandangan sumbangan vaksin tersebut tidak perlu dipertimbangkan kerana Kerajaan Pusat telah merangka dan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan 80 peratus populasi penduduk negara akan menerima vaksin.

“Persoalannya mengapa Kerajaan Pusat tidak memberikan peluang yang sama kepada kerajaan negeri lain untuk menerima secara terus atau membeli sendiri vaksin Covid-19 sama seperti kebenaran kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, sumbangan vaksin jenis Sinovac keluaran China oleh syarikat swasta itu masih terbuka dan kerajaan negeri ketika ini hanya menunggu kebenaran Kerajaan Pusat untuk mendapatkannya.

Jelas beliau, sekiranya diberikan kelulusan vaksin itu bukan hanya memberi manfaat yang besar kepada penduduk Pulau Pinang yang sememangnya berharap untuk menerima vaksin segera ketika pandemik Covid-19 dilihat semakin meningkat.

Malah tambahnya, sumbangan vaksin itu juga dapat menjimatkan kos Kerajaan Pusat yang mana bekalan vaksin yang diperuntukkan kepada Pulau Pinang boleh diagihkan kepada negeri-negeri lain.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu mempercepatkan inisiatif program imunisasi kebangsaan dan lebih ramai rakyat negara ini dapat menerima vaksin Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Kerajaan Pusat yang tidak membenarkan sumbangan vaksin kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Malah beliau menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya tetap menerima sumbangan vaksin tersebut selepas ini dan bersedia berdepan sebarang tindakan termasuk sekiranya bekalan vaksin itu dirampas.

“Sekarang ada yang mahu menderma (vaksin) kenapa tidak benarkan? Jika derma politik boleh, mengapa derma vaksin tidak boleh? Berapa banyak nyawa rakyat yang berisiko tinggi dapat diselamatkan daripada sumbangan dua juta dos vaksin ini?” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN