PUTRAJAYA: Seorang wanita dari Sarawak meninggal dunia selepas dijangkiti virus rabies selepas digigit anjing peliharaannya sekali gus merekodkan kematian ketiga di negeri itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit berusia 45 tahun tinggal di Rh Janggu, Sungai Tepus, Selangau, Sarawak digigit anjing peliharaannya di tangan kiri semasa meleraikan anjing tersebut yang sedang berlawan dengan anjing lain pada 9 Mac lalu.
Katanya, pesakit kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tepus pada hari yang sama dengan rawatan luka dilakukan, suntikan anti-tetanus diberikan dan janji temu susulan sudah dilakukan.
“Malangnya wanita itu telah tercicir daripada rawatan susulan. Setelah berjaya dikesan, suntikan vaksin anti-rabies dos pertama diberikan pada 29 April lalu.
“Bagaimanapun, pesakit mengadu sakit mata, lemah badan dan kebas di
tangan kiri semasa hadir mendapatkan suntikan dos kedua pada 2 Mei lalu sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Sibu untuk rawatan sebelum meninggal dunia empat hari kemudian kerana rabies encephalitis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, sebelum mangsa meninggal dunia, sampel klinikal ujian pengesanan virus rabies telah diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Katanya, keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 5 Mei 2021 manakala ketika itu, keadaan pesakit semakin merosot dan meninggal dunia pada 6 Mei 2021 jam 7:13 pagi.
“Sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di Sarawak, jumlah kes adalah 34 dengan 32 kematian.
“Sehingga kini, terdapat dua kes kanak-kanak yang masih hidup dengan komplikasi neurologi yang teruk,” katanya. -UTUSAN ONLINE










