PETALING JAYA : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan agar Pesta Kaamatan disambut dengan kebiasaan baharu dengan mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.
Seri Paduka Baginda berdua bertitah agar rakyat Malaysia untuk bersabar menghadapi cabaran ini dan bersama memainkan peranan membantu memerangi wabak Covid-19 dengan bersama berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada semua yang menyambutnya di negeri Sabah.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar perayaan Pesta Kaamatan akan terus menyemarakkan keharmonian antara kaum di Malaysia dan memperkukuhkan perpaduan sesama kita.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga hari yang bermakna kepada masyarakat Kadazandusun ini disambut dengan kebiasaan baharu dan dengan mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.
“Bersabarlah menghadapi cabaran ini dan marilah bersama memainkan peranan membantu memerangi wabak Covid-19 dengan bersama berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard PKP,” titah baginda hari ini.
Pada hari ini, masyarakat Kadazandusun di Sabah akan menyambut Pesta Kaamatan sebelum disusuli sambutan Hari Gawai oleh komuniti Dayak di Sarawak, dua hari selepas itu.- UTUSAN ONLINE









