Rusuhan: Pemuda UMNO Johor tawar khidmat guaman - Utusan Malaysia

Rusuhan: Pemuda UMNO Johor tawar khidmat guaman

TANGKAP layar sekumpulan individu yang bertindak agresif membakar suar di atas jalan raya sambil menggantung kain rentang di Jalan Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Selepas Pakatan Harapan (PH) Johor menawarkan khidmat guaman secara pro-bono kepada individu yang ditahan dalam insiden rusuhan di Parit Raja, Pemuda UMNO negeri turut tampil menyatakan hasrat sama.

Naib Ketuanya, Mohd. Fared Khalid berkata, satu sekretariat peguam ditubuhkan bagi menawarkan khidmat guaman percuma terbabit.

Beliau yang juga pengerusi sekretariat tersebut berkata, bantuan itu tidak memiliki sebarang agenda atau menyokong tindakan dibuat mereka yang ditahan.

“Sebaliknya ini adalah inisiatif membantu keluarga yang terkesan dan tidak memiliki keupayaan kewangan untuk mendapatkan khidmat guaman, ditambah dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19.

“Bantuan ditawarkan juga tidak berniat mengganggu siasatan polis dan kami memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa menyiasat perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini tular dalam media sosial sebuah video memaparkan kira-kira 40 orang membuat halangan jalan raya menggunakan motosikal dan kereta selama 15 minit bagi menarik perhatian dengan kain rentang serta membakar suar dan mercun.

Mohd. Fared berkata, tawaran khidmat guaman itu melibatkan nasihat dan representasi peguam serta urusan surat-menyurat manakala kos lain akan dibiayai keluarga mangsa.

Sehubungan itu katanya, ahli keluarga boleh menghubungi Pemuda UMNO Johor atau Sekretariat Peguam Pemuda UMNO Johor menerusi talian 012-7007579 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menyokong kenyataan Majlis Belia Negeri Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang kesal dengan insiden berkenaan.

“Pemuda UMNO Johor mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak memperalatkan anak muda bagi tujuan sandiwara atau gimik politik. Anak muda di negeri ini juga diingatkan untuk tidak mudah diperguna sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Pada Sabtu lalu, satu kenyataan bersama ditandatangani Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menegaskan insiden itu merupakan manifestasi rakyat Malaysia terhadap kegagalan kerajaan menguruskan isu negara ketika ini termasuk Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN