KUANTAN: Penduduk Pahang dirayu memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan berikutan situasi terkini wabak pandemik Covid-19 di negeri ini yang belum reda.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau bimbang jika situasi sekarang berlarutan, malah berlaku lagi peningkatan terutama di daerah Kuantan, MKN mungkin akan mencadangkan langkah-langkah yang lebih ketat lagi bagi membendung penularan Covid-19.
“Saya mendapat maklum daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang peningkatan kes Covid-19 terutama di daerah Kuantan meningkat dan sangat membimbangkan.
“Hari ini daripada 178 kes positif baharu dilaporkan, 135 kes daripadanya melibatkan daerah Kuantan termasuk dengan kemunculan kluster baharu tempat kerja dikenali Kluster Menara Jalan Putra.
“Sejak 10 Mei lalu, Kuantan kembali menunjukkan bilangan kes positif baharu tertinggi di negeri ini iaitu 38 kes daripada 77 kes diikuti 40 kes daripada 85 kes pada 11 Mei; 39 kes daripada 63 kes pada 12 Mei; dan, 22 kes daripada 56 kes pada 13 Mei,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, terdapat empat kawasan dalam daerah Kuantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk Taman Tanah Putih Baharu yang masih berkuatkuasa, bermula 5 Mei lalu sehingga 18 Mei ini.
“Tiga kawasan lain yang pernah dikenakan PKPD yang sama, telah pun tamat tempoh penguatkuasaannya iaitu Indera Mahkota 2, Astaka Village, dan Galing.
“Segala maklumat yang diperolehi ini sangat membimbangkan saya, sekali lagi mohon agar rakyat Pahang sentiasa mengikut SOP ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan,” katanya.










