DUNGUN: Seorang pemuda putus separuh lengannya selepas terjerut tali mesin penarik bot di Kampung Kuala Abang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Muhammad Idris Kasim, 27, difahamkan membantu nelayan yang baru pulang dari laut menarik bot gentian kaca naik ke darat di Pengkalan Muda Misai di kampung tersebut.
Abangnya, Mohd. Rezuan Kasim, 32, berkata, mangsa yang merupakan pembantu tukang rumah sering ke pangkalan tersebut untuk membantu nelayan menarik bot apabila tidak bekerja.
“Tali mesin penarik bot itu bergulung dan adik cuba untuk membetulkannya tetapi tiba-tiba tangannya terjerut pada tali tersebut ketika mesin bergerak hingga menyebabkan tangannya putus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Rezuan berkata, kejadian itu disedari nelayan berhampiran selepas adiknya menjerit meminta tolong untuk mematikan enjin mesin berkenaan.
“Adik dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum kesnya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.
“Doktor mengesahkan tangannya tidak dapat disambung, memang pada mulanya kami sekeluarga termasuk ibu yang sakit saraf dan dijaga adik agak terkejut dengan kejadian malang ini, namun, kami sekeluarga reda dengan ujian Allah,” katanya.










