Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson serah bantuan peranti - Utusan Malaysia

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson serah bantuan peranti

EMPAT orang adik beradik yang terpaksa berkongsi telefon bimbit bagi mengikuti PdPR menerima bantuan peranti daripada Pusat Khidmat Rakyat Port Dickson dan pejabat ADUN Sri Tanjung yang diserahkan oleh Pegawai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Port Dickson, Mejar (B) Hasrin Abdul Samat (dua, dari kanan).-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Susulan laporan Utusan Malaysia berkenaan empat orang adik-beradik yang terpaksa berkongsi sebuah telefon bimbit milik bapa mereka bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson hari ini tampil menghulurkan bantuan.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Port Dickson, Ahmad Farhan Fauzi berkata, mengambil maklum laporan berita tersebut, pihaknya bersama pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, telah memberi sumbangan segera berupa dua unit peranti kepada keluarga berkenaan.

“Pusat Khidmat Rakyat Port Dickson mengambil maklum laporan Utusan Malaysia hari ini, justeru pihak kami bersama ADUN Sri Tanjung telah memberi sumbangan segera berupa dua unit peranti kepada keluarga berkenaan.

“Semoga sumbangan ini dapat memampan sedikit dampak pandemik dan dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran,” katanya dalam kenyataan.

Akhbar ini hari ini, empat orang anak kepada nelayan, Shamsul Kama Khalil, 47, terpaksa berkongsi sebuah telefon bimbit milik bapa mereka itu untuk digunakan bagi mengikuti proses PdPR sepanjang penutupan sekolah ketika ini.

Menurut nelayan itu, dia terpaksa tidak membawa telefon bimbit ke tengah laut bagi membolehkan empat orang anaknya itu mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Dia mengakui, tindakannya itu boleh mendatangkan bahaya kepada dirinya jika berlaku sebarang kecemasan di tengah laut.

Sementara itu, ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini, Shamsul Kama, berterima kasih di atas bantuan yang diberikan tersebut

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Parlimen Port Dickson dan ADUN Sri Tanjung kerana memberi bantuan ini. Saya berharap ini dapat menaikkan semangat anak saya untuk belajar. 

“Sesi PdPR ini mungkin agak lama lagi, jadi, dua unit peranti ini akan memberi anak-anak saya belajar ketika berada di rumah ini,” katanya di Pangkalan Nelayan Kampung Gelam hari ini. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya