SEREMBAN: Polis telah mengambil keterangan pemilik akaun Twitter @lcsmxms berhubung hantaran berbentuk fitnah kepada pasukan polis mengenai pelaksanaan kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri 2021 di Nilai Impian, Nilai di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, suspek berusia 42 tahun yang merupakan seorang pengurus syarikat penerbitan buku itu hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada pukul 9 pagi semalam dan ditahan.
“Gajet yang digunakan untuk memuat naik fakta isu dirampas bagi membantu siasatan. Suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut berhubung isu berkenaan masih dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang menyebabkan kegentaran awam, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian serta Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 kerana menyebarkan berita tidak benar,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Fazley berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta berhati-hati memuat naik kenyataan di media sosial bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikuatkuasakan,” tegasnya.
Sebelum ini, polis menafikan gambar tular dalam media sosial berhubung pelaksanaan operasi pihak polis yang mengenakan kompaun sebanyak RM25,000 kepada tuan rumah dan RM5,000 kepada tetamu atas kesalahan melanggar SOP Aidilfitri 2021.
Menurut Mohd. Fazley, gambar yang dimuat naik berkenaan sebaliknya merupakan gambar pemeriksaan rumah ke rumah pada hari raya pertama Aidilfitri di sekitar kawasan perumahan di Nilai Impian.










