PKPD: Penduduk diberi amaran jangan cuba keluar kawasan - Utusan Malaysia

PKPD: Penduduk diberi amaran jangan cuba keluar kawasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Penduduk yang tinggal di sembilan lokaliti Bandar Darulaman dan Lubuh Kawah, Jitra dekat sini yang dipakai gelang merah jambu diberi amaran supaya tidak cuba keluar dari kawasan tersebut tanpa kebenaran.

Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam hingga 31 Mei ini di lokaliti berkenaan.

Menurutnya, amaran tersebut dikeluarkan selepas terdapat penduduk di lokaliti terbabit yang dipakai gelang merah jambu dikesan cuba melepasi sekatan jalan raya (SJR) PKPD.

Malah katanya, beliau terkejut apabila seorang pemandu teksi yang tinggal di Taman Mahsuri di sini ingin keluar untuk mengambil penumpang sejurus selepas melakukan saringan Covid-19 dan dipakai gelang merah jambu.

“Pihak polis akan mengeluarkan kompaun terhadap penduduk di lokaliti itu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk cuba keluar dari kawasan tersebut sepanjang tempoh PKPD ini.

“Bagaimanapun penduduk hanya dibenarkan keluar sekiranya mempunyai surat kebenaran, tujuan perubatan dan kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di SJR PKPD di Taman Mahsuri, Jitra dekat sini.

Tiga lagi SJR PKPD di lokaliti tersebut ialah di jalan masuk ke Kampung Paya Kerchut dan dua di jalan Kampung Lubuk Kawah.

Pada masa sama, beliau memberitahu, polis juga menutup kira-kira 10 jalan tikus di sembilan lokaliti tersebut.

Jelasnya, kebanyakan jalan tikus tersebut didapati hanya untuk laluan motosikal.

“Sebanyak 64 anggota dan pegawai polis daripada pasukan pemantau akan melakukan rondaan di kawasan tersebut dan jalan-jalan tikus,” katanya.

Dalam pada itu, Rodzi menambah, beliau mendapati kebanyakan penduduk terlibat mematuhi SOP PKPD apabila jalan-jalan utama di kawasan itu lengang sejak tengah malam kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN