Percepatkan stok bekalan vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Percepatkan stok bekalan vaksin Covid-19

JAGDEEP Singh Deo dalam sidang akhbar selepas meninjau pematuhan SOP di Kuil Mahindarama Buddhist di Jalan Kampar, Georgetown, Pulau Pinang sempena Hari Wesak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Bekalan vaksin Covid-19 untuk negara ini perlu dipercepatkan supaya kadar mereka yang telah divaksin dapat ditingkatkan memandangkan jumlah kes positif pandemik itu kini berada pada tahap membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin perlu berusaha lebih gigih untuk memastikan bekalan vaksin tiba lebih awal ke negara ini.

“Khairy telah jalankan tugas dengan baik, tetapi, ada kelewatan dalam program PICK, itu hakikatnya.

“Kita rayu pada Khairy agar percepatkan stok bekalan vaksin, ramai yang khuatir dan bimbang dengan peningkatan kes Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kuil Mahindarama Buddhist sempena Hari Wesak, di sini hari ini.

Menurut Jagdeep, kerajaan negeri bersedia membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat negeri ini sekiranya stok bekalan vaksin tiba lebih awal.

“Kerajaan negeri ada pelan untuk percepatkan vaksin, tetapi, kalau kita tidak ada bekalan, apa yang kita boleh buat.

“Kita boleh laksanakan tugas ini sebagai satu keluarga cuma bekalan vaksin Covid-19 ini perlu dipercepatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata, setakat kelmarin, sebanyak 719,015 individu di Pulau Pinang telah mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Daripada jumlah itu, hanya 79,862 individu atau 5.8 peratus sahaja yang telah divaksin di negeri ini.

“Kadar ini sebenarnya masih lagi rendah untuk mencapai imuniti kelompok, jadi kita perlukan bekalan vaksin dengan segera memandangkan banyak varian Covid-19 dari luar negara ada di sini pada masa ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN