fbpx

Penternak lega, 70 ekor lembu tempatan ‘laku keras’

MOHAMMAD Rezuwan Mazlan lega apabila haiwan ternakannya itu habis dibeli peniaga sejak semalam sempena sambutan Aidilfitri esok. - UTUSAN/ NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pembekal dan penternak lembu tempatan menarik nafas lega apabila kira-kira 70 ekor haiwan ternakan itu laris ‘disapu’ peniaga-peniaga di negeri ini dalam tempoh kurang 24 jam sejak semalam.

Seorang pembekal, Mohammad Rezuwan Mazlan, 39, berkata, sambutan luar biasa diterima dalam kalangan pelanggan iaitu peniaga daging lembu di lima daerah negeri ini sempena menyambut kedatangan 1 Syawal esok.

Menurutnya, sebanyak 70 peratus peniaga di daerah Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara telah membuat tempahan bekalan daging yang siap disembelih untuk dipasarkan sejak pagi semalam.

“Kami tidak menang tangan melapah daging lembu sejak pagi semalam. Ini berikutan permintaan yang tinggi dalam kalangan peniaga biarpun dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Biarpun berlaku kenaikan harga bagi sekilogram daging lembu tempatan iaitu RM40 sekilogram, namun bekalan barangan mentah itu masih menjadi pilihan utama pelanggan.

“Hari ini, semua stok lembu hidup yang di tempatkan di kandang habis disembelih dalam tempoh kurang 24 jam. Kemungkinan stok baharu akan masuk seminggu lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga daging lembu tempatan yang mahu dikenali sebagai Rahim, 50-an memberitahu, daging bagi 11 ekor lembu tempatan yang dibeli daripada pembekal di negeri ini pada harga RM8,500 seekor laris dijual sejak semalam.

“Walaupun jumlah bekalan berkurangan berbanding tahun sebelum ini iaitu kira-kira 21 ekor tetapi kami berasa lega kerana pelanggan masih memilih untuk membeli daging sebagai juadah hari raya.

“Bayangkan, belum kami memulakan operasi pada pukul 8 pagi tadi, sudah ada lebih 15 pelanggan yang beratur panjang di hadapan premis sejak pukul 6.45 pagi,” jelasnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar awam dan premis di Daerah Barat Daya petang ini mendapati, masih terdapat pelanggan beratur membeli daging namun jumlahnya dilihat berkurangan dan tidak seperti awal pagi tadi. – UTUSAN ONLINE