SEREMBAN: Walaupun terhalang dengan kawat duri dan penghadang batu, ia tidak menghalang buat beberapa penduduk bersempadan Negeri Sembilan dan Selangor dekat Nilai 3 di sini untuk menjalangkan urusan harian mereka.
Seorang pembekal kecil tong gas memasak, Noraini Rahman, 66, berkata, sejak penghadang batu tersebut diletakkan di sempadan Nilai 3 dan Bandar Bukit Mahkota, Selangor sejak 6 Mei lalu, dia hanya dapat mengambil tong gas dari lori pembekal di situ.
“Saya hanya membekalkan tong gas kecil-kecilan sahaja dari rumah di Bandar Bukit Mahkota. Namun sejak penghadang batu ini diletakkan saya dan pemandu lori pembekal dari Seremban hanya berurusan di sini sahaja, cepat.
“Di sini memang laluan utama di antara Nilai dan Bangi, satu laluan lain ialah dengan menggunakan lebuh raya dan tol. Hari ini saya menukar beberapa tong gas, kelmarin sebelum Aidilfitri lagi banyak tong gas yang bawa ke sini untuk tukar tong dan mengambil tong gas yang baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di jalan berkenaan hari ini.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati ada penduduk yang bertukar-tukar juadah dan makanan sempena sama ada dengan ahli keluarga dan sahabat handai.
Seorang penduduk, Shamsudin Harun, 63, berkata, sejak semalam dia sudah berulang kali menghantarkan makanan yang dimasak isterinya untuk dibekalkan kepada anaknya yang tinggal di Nilai.
“Saya tinggal Bandar Bukit Mahkota, anak saya hanya tinggal di Nilai, ikutkan memang dekat tapi apa boleh buat kami tidak boleh beraya bersama.
“Sejak semalam memang saya meminta menantu untuk mengambil juadah dan lauk pauk di sini. Memang ini jadi tempat tumpuan ramai, semalam semasa pagi raya ramai ahli keluarga hanya beraya di sini,” katanya.
Sementara itu, walaupun dihalang oleh penghadang batu dan kawat duri, kelihatan beberapa pekerja asing merentas halangan tersebut dengan berbasikal.
Difahamkan mereka merupakan pekerja beberapa buah kilang di Nilai 3 namun tinggal di tempat penginapan mereka di Bandar Bukit Mahkota. – UTUSAN ONLINE