Penggunaan katil pesakit Covid-19 di Johor sudah lebih 90 peratus - Utusan Malaysia

Penggunaan katil pesakit Covid-19 di Johor sudah lebih 90 peratus

R. VIDYANANTHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penggunaan katil yang dikhususkan bagi kes Covid-19 di wad dan unit rawatan rapi (ICU) hospital kerajaan di negeri ini telah melebihi 90 peratus daripada kapasiti awal yang disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, pesakit Covid-19 kategori 2 hingga 5 masih boleh dirawat di hospital dengan menambah bilangan katil dan wad.

Menurutnya, pihak hospital bagaimanapun tidak menolak pesakit bukan Covid-19 yang memerlukan sebarang rawatan seperti biasa.

“Sehingga semalam, kedatangan pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Johor adalah seramai 154,449 orang.

“Daripada jumlah itu, 42,927 kes positif, 81,605 kontak rapat manakala 29,917 dari kategori lain-lain seperti kes discaj,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 15 Mei lalu, terdapat 82 pesakit Covid-19 yang dirawat di ICU di seluruh negeri ini dengan 66 orang daripadanya memerlukan bantuan peralatan pernafasan.

Vidyananthan berkata, selain hospital kerajaan, pesakit Covid-19 kategori 1 hingga 5 boleh memilih untuk mendapatkan rawatan di 15 hospital swasta.

“Sementara itu bagi pesakit Covid-19 kategori 1, mereka boleh mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Pasir Gudang dan PKRC swasta,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pelaksanaan suntikan dos pertama vaksinasi fasa kedua di negeri ini telah diberi kepada 23,448 orang setakat 15 Mei lalu.

“Mereka yang telah menerimanya melibatkan pecahan seramai 13,763 warga emas; 8,682 individu komorbid; 40 orang kurang upaya (OKU) dan 1,003 lain-lain kategori,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN