DUNGUN: Seorang penganggur bersama bapa mentuanya antara tiga yang ditahan polis kerana memiliki senapang tiruan dalam serbuan berasingan di Ketengah Jaya di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, lelaki berusia 36 tahun dan bapa mentuanya yang berumur 58 tahun itu ditahan di kediaman masing-masing di Felda Kertih 5, kira-kira pukul 1 pagi.
“Pemeriksaan menemukan dua laras senapang tiruan untuk berburu dan suspek mengaku membuat senjata itu pada bulan lalu mengikut replika senapang cicak tiruan milik bapa mentuanya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun hari ini.
Baharudin berkata, susulan serbuan pertama, pihaknya menahan rakan mereka yang berusia 50 tahun di Felda Kertih 6, sejam kemudian di samping turut merampas selaras senapang.
Beliau percaya, senapang tiruan itu menggunakan peluru yang dibeli daripada individu yang memiliki lesen pembelian sah.
Katanya, ketiga-tiga suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960. – UTUSAN ONLINE










