TAIPING: Polis mendapat kebenaran reman tiga hari bermula hari ini ke atas seorang lelaki bagi membantu siasatan kes melakukan contengan pada dinding dengan perkataan biadab beberapa lokasi di sini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Taiping, Noraishah Ahmad mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Suspek yang ditahan semalam di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Terdahulu, suspek berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pemotong rumput itu tiba di Kompleks Mahkamah Taiping pada pukul 8.30 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, lelaki terbabit diberkas di sebuah rumah di Taman Sungai Mas di sini pada pukul 3.45 petang, semalam.
Katanya, siasatan terhadap suspek membawa kepada rampasan satu blok tulisan ‘Kerajaan Gagal’, satu tin penyembur cat dan sebuah kereta jenis Toyota Avanza.
“Kesemua peralatan itu dipercayai digunakan suspek untuk membuat contengan pada dinding-dinding bangunan awam di sini,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial gambar dinding bangunan awam di beberapa lokasi di sini diconteng dengan tulisan biadab termasuk ‘Kerajaaan Gagal’.
Antara lokasi yang dikenal pasti ialah mural di Taman Tasik Taiping, papan tanda kediaman pegawai daerah, papan tanda masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, dinding hotel, gelanggang tenis dan takraw Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
Contengan tersebut dipercayai dilakukan lelaki itu sejak 21 Mei lalu.