TANJUNG MALIM: Seorang pengusaha chalet dan tapak perkhemahan di Kampung Simpang Empat Dalam di sini, menyifatkan bencana banjir dan kepala air di kawasan peranginan itu minggu lalu berlaku sangat pantas sehingga menyebabkan 50 pelanggannya berdepan situasi cemas dan panik.
Pemilik E-Taman Dusun Stay, Kamarozaman Yunus, 60, yang telah lebih lima tahun mengusahakan perniagaan itu berkata, ia berlaku ekoran hujan lebat selama beberapa jam.
“Majoriti pelanggan kepenatan selepas melakukan aktiviti bermandi-manda bersama keluarga masing-masing, namun saya tidak tidur kerana sentiasa berwaspada dengan risiko banjir dan kejadian kepala air.
“Kira-kira pukul 6 pagi, sekeliling kawasan chalet telah dinaiki air mencecah paras pinggang orang dewasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kamarozaman berkata, semasa kejadian, tiada pelanggan yang memasang khemah untuk bermalam di tepi Sungai Bernam.
“Mereka bermalam di chalet yang arasnya lebih tinggi tetapi air telah mencecah permukaan lantai. Mujur paras air surut sepenuhnya kira-kira lebih sejam kemudian,” katanya.
Katanya, impak bencana itu menyebabkan ada kenderaan pelanggan dimasuki air kerana tidak sempat untuk dialihkan ke lokasi lebih tinggi.
“Saya sendiri mengalami kerugian sekitar RM15,000 hingga RM20,000 kerana peralatan elektrik, perabot dan alatan masakan dihanyutkan arus deras,” katanya.
Berhubung sebuah kereta Proton X70 dihanyutkan di Sungai Bernam yang merupakan sempadan semula jadi antara Perak dengan Selangor, beliau berkata, perkara itu memang berlaku.
“Ia bukan berlaku di tempat kami seperti dakwaan yang viral dalam media sosial. Ada tujuh hingga lapan resort dan tapak perkhemahan milik persendirian di kaki bukit di kampung ini,” katanya. – UTUSAN










