PETALING JAYA: Menjelang pemilihan dan kongres yang akan diadakan pada bulan depan, DAP dilihat mahu membuktikan bahawa parti itu sedia melakukan perubahan sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perubahan itu bukan sahaja melibatkan barisan kepimpinan tetapi juga membabitkan imej parti yang sentiasa dilihat sebagai parti yang memperjuangkan kaum Cina.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari mengakui terdapat beberapa isu yang akan mempengaruhi pemilihan partinya, termasuklah yang melibatkan pertembungan antara pemimpin parti dan kedudukan DAP pada pilihan raya akan datang.
“Beberapa isu akan mempengaruhi pemilihan nanti seperti isu Ronnie Liu baru-baru ini. Pemilihan kali ini juga berbeza kerana DAP sudah pernah merasa jadi kerajaan dan pembangkang, jadi akan ada faktor-faktor lain yang menentukan pemilihan ini. Sudah tentu ada yang mahu mengekalkan kuasa.
“Walaupun ada kenyataan yang seolah-olah DAP ini parti yang sempit tetapi ia bukanlah penentu pemilihan, sebaliknya soal pertembungan personaliti yang akan menjadi penentu,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata barisan kepimpinan tidak akan diubah hanya kerana ada yang mempersoalkan barisan pemimpin tertinggi DAP didominasi pemimpin kaum Cina.
“Ia tidak semestinya akan menentukan pemilihan, kalau benar Cina mahu mendominasi DAP, kenapa saya boleh naik di Perak dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Pahang? Terbukti, soal bangsa tidak menjadi masalah dalam DAP.
“DAP tidak sesempit itu. Cina atau tidak bukan isu dalam DAP. Sesuatu isu itu mungkin dilihat sebagai isu Cina oleh orang di luar DAP, tetapi dalam DAP kita dilihat dari lensa lain, khususnya keadilan atau isu survival parti. Ini harus dipelajari oleh mereka yang ingin memahami politik DAP,” katanya.
Justeru, Abdul Aziz percaya pemilihan parti pada bulan depan akan mengukuhkan lagi kedudukan parti dalam menghadapi PRU-15.
“DAP kini lebih terbuka, berani buat perubahan. Segala tohmahan hanyalah bersifat persepsi luar. Saya yakin pemilihan kali ini akan menyaksikan DAP maju ke hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










