IPOH: Pembelian panik di sebuah pasar raya di bandar raya ini hari ini dipercayai akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial di seluruh negara bermula Selasa ini, tidak sepatutnya berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, ini kerana kerajaan telah memberi jaminan bekalan barang keperluan asas sepanjang tempoh total lockdown di pasaran seluruh negeri mencukupi dan mudah diperoleh.
Menurutnya, apatah lagi masyarakat sudah ada pengalaman melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Pembelian panik yang berlaku hari ini tak sepatutnya berlaku sebab kita sudah bagi jaminan barang keperluan asas mencukupi.
“Walaupun lockdown, ketua keluarga dibenarkan keluar beli barang keperluan. Perkhidmatan perlu boleh operasi termasuk kedai runcit, pasar raya.
“Apa yang berlaku hari ini mungkin disebabkan orang ramai ambil kesempatan cuti hujung minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas gambar yang tular dalam media sosial orang ramai berbaris panjang untuk memasuki sebuah pasar raya di sini hari ini dipercayai untuk membeli barang keperluan berikutan pelaksanaan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial mulai Selasa ini.
Menurut Abdul Yunus, rakyat dan pengguna dinasihatkan supaya bertenang terhadap pengumuman tersebut kerana bekalan barangan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit adalah stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.
Katanya, rakyat dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian yang banyak dan tidak tergesa-gesa kerana dikhuatiri akan menyebabkan gangguan pada rantaian bekalan setempat dan secara tidak langsung mencetuskan situasi panik dalam kalangan pengguna.
“Sebaliknya, mereka disarankan supaya membuat pembelian barangan secara biasa dan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja. Pengguna juga digalakkan membeli secara atas talian.
“Peniaga dan peruncit digalakkan supaya melakukan kawalan kendiri di premis masing-masing dengan menentukan had kuantiti jualan barangan yang bersesuaian dalam memastikan bekalan barangan keperluan asas pengguna sentiasa mencukupi,” katanya.- UTUSAN ONLINE










