Pemandu maut kemalangan tiga lori - Utusan Malaysia

Pemandu maut kemalangan tiga lori

KEADAAN lori yang terlibat nahas mengorbankan seorang lelaki di Kilometer 326, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Tapah hari ini.- UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seorang pemandu lori tangki maut selepas kenderaan dipandunya terbabit kemalangan dengan dua lori dalam kejadian di Kilometer 326, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.

Nahas pada pukul 6 pagi itu mengorbankan A. Samynogam, 66, yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan manakala seorang pemandu lori muatan air mineral berusia 41 tahun cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori tangki dipandu mangsa melanggar belakang sebelah kanan lori muatan bahan binaan yang berada di lorong kiri. 

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan lori terbabit terbabas ke bahu jalan sebelum kenderaan dipandu mangsa melanggar dan menyeret lori muatan air mineral sejauh kira-kira 50 meter.

“Rempuhan itu menyebabkan lori muatan air mineral itu melanggar besi pembahagi jalan dan masuk ke lorong bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu, Samynogam parah dan maut di tempat kejadian manakala pemandu lori air mineral cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, mayat mangsa juga dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.