KUANTAN: Parti Amanah Negara (Amanah) melahirkan kebimbangan terhadap penyertaan murid dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang telah dimulakan di seluruh negara.
Pembelajaran sebegini yang dilakukan secara dalam talian semestinya memerlukan data internet yang ditawarkan oleh telco dengan bayaran tertentu.
PDPR tentunya memerlukan aplikasi tersendiri di samping kegiatan muat naik dan muat turun yang memerlukan pelayaran kepada saiz data yang besar.
Pengerusi Amanah negeri, Zulkifli Mohamed berkata, Amanah Pahang menzahirkan kebimbangan ibu bapa bakal terbeban apabila terpaksa membeli data secara tetap dengan kos yang membebankan sepanjang tempoh PDPR yang tidak pasti bila akan berakhir.
Katanya, jika ia berterusan dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibu bapa tidak berupaya lagi untuk mendapat pendapatan seterusnya mampu membiayai kos data internet untuk anak mereka.
“Justeru, Amanah Pahang mendesak agar kerajaan menyediakan data internet percuma untuk anak-anak yang mengikuti sesi PDPR ini bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam sukatan pembelajaran.
“Amanah Pahang menegaskan tindakan membiarkan rakyat terpaksa menanggung kos besar untuk pembelajaran secara PdPR di sebalik janji kononnya kerajaan memberikan bantuan 150,000 komputer riba secara percuma seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, adalah satu cerita “loyar buruk” kerajaan untuk terus membohongi rakyat.
“Sesungguhnya janji dan cerita bohong kerajaan untuk memberikan bantuan 150,000 komputer riba kepada rakyat perlu diberi penjelasan kepada rakyat terutama berapakah wang yang telah dibelanjakan untuk tujuan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zulkifli berkata, Amanah Pahang mendesak Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin supaya tidak “membutakan mata dan memekakkan telinga” dalam menangani isu berkenaan.-UTUSAN ONLINE