Patuh SOP, 2,517 penuntut UMP pulang ke kampung sambut raya - Utusan Malaysia

Patuh SOP, 2,517 penuntut UMP pulang ke kampung sambut raya

YUSERRIE Zainuddin (depan, kiri) bertemu penuntut UMP yang pulang ke kampung untuk menyambut hari raya Aidilfitri bersama keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bermula semalam, seramai 2,517 penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan pulang menyambut hari raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing secara berperingkat.

Sebanyak 18 unit bas disediakan oleh UMP bagi melancarkan penghantaran pulang para penuntutnya mengikut jadual yang ditetapkan.

Pada hari pertama sahaja menyaksikan lebih 900 penuntut telah pulang menaiki kenderaan sendiri, menaiki kenderaan UMP, menaiki penerbangan dan diambil oleh ibu bapa.

Institusi pengajian tinggi (IPT) itu turut menyediakan “Sahur Meal” bagi semua penuntutnya yang menaiki kenderaan universiti dengan tajaan Yayasan UMP bagi juadah bersahur dalam kenderaan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin yang mengetuai Task Force Pengurusan Pelajar (Norma Baharu) berkata, pihak pengurusan UMP telah bersetuju menetapkan mekanisme kawalan iaitu pergerakan penuntut dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan mereka terkawal.

Ujarnya, penuntut turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut.

“Tarikh bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing berdasarkan tiga kaedah pergerakan iaitu menggunakan kenderaan sendiri atau dijemput oleh ibu bapa/penjaga atau pun menggunakan kenderaan yang diselaraskan oleh UMP.

“Bagi pelajar yang pulang menggunakan kenderaan sendiri, mereka dibenarkan memandu kenderaan sendiri dengan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh UMP bermula 7 Mei hingga 12 Mei depan dan dijangka kembali ke kampus semula pada 15 Mei hingga 20 Mei.

“Pelajar tidak dibenarkan menggunakan kenderaan awam kecuali perkhidmatan penerbangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yuserrie berkata, bagi pergerakan ibu bapa/penjaga, penuntut yang melibatkan keperluan merentas daerah atau negeri perlu membawa bersama surat pelepasan perjalanan rentas daerah/negeri atau pulang semula ke kampus yang dikeluarkan oleh UMP.

Jelasnya, mereka boleh memulakan perjalanan bermula 7 Mei hingga 12 Mei depan dan kembali ke kampus semula pada 15 Mei hingga 20 Mei.

“Bagi yang menggunakan kenderaan diselaras UMP, jumlahnya agak terhad. Masa perjalanan dan pusat hentian bas bagi setiap negeri adalah berdasarkan ketetapan pihak universiti. Pergerakan bermula pada 7 Mei hingga 11 Mei dan kembali semula ke kampus pada 16 Mei hingga 20 Mei,” katanya.

Beliau turut berkata, hanya pelajar sedia ada, pelajar yang sedang menjalani latihan industri dan pelajar yang dikenal pasti oleh UMP di bawah kategori pelajar berkeperluan enam kategori sahaja yang dibenarkan kembali ke kampus sempena cuti Aidilfitri ini.

Ujarnya, pelajar yang pulang ke kampung sepatutnya mengambil peluang sebaiknya untuk bersama keluarga dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa berada di kampung bagi membendung penularan Covid-19 yang masih menular.

Beliau dalam pada itu berkata, seramai 1,200 pelajar tidak pulang ke kampung sempena hari raya dan UMP merancang untuk menyediakan “Syawal Pax” bagi mereka dengan tajaan Yayasan UMP.

Bagi para pelajar yang memerlukan keterangan lanjut, boleh menghubungi Bilik Gerakan UMP di talian 09-5493333 (UMP Kampus Gambang) dan 09-4246999 (UMP Pekan) untuk mendapatkan sebarang khidmat nasihat dan prosedur yang berkaitan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya