Noraini kata terserempak, Kian Ming cakap dirancang - Utusan Malaysia

Noraini kata terserempak, Kian Ming cakap dirancang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Dua pemimpin politik, masing-masing seorang daripada UMNO dan DAP membuat kenyataan bercanggah berhubung satu kunjungan terhadap seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 13 Mei lalu.

Perkara itu menjadi perdebatan di media sosial seolah-olah membuktikan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memberi bayangan untuk mewujudkan Perikatan 3.0 bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad, berkata, beliau terserempak dengan ahli parlimen DAP, Ong Kian Ming semasa menziarahi mahasiswa tersebut secara bersama.

Kata Noraini, pertembungan dengan Kian Ming itu adalah ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di UKM  di mana ahli Parlimen DAP itu turut berada di situ.

“Saya ke PPV di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac yang tidak pulang ke kampung halaman untuk sambut Aidilfitri. Di situ saya terserempak dengan Ong.

“Sebelum beredar, Ong tanya hendak ke mana dan saya jawab hendak pergi ziarah pelajar UKM yang sakit dekat Sungai Merab.

“Kemudian dia kata hendak ikut sebab itu bawah Parlimen dia. Itu sahaja. Sebab itu saya kata arahan kononnya daripada presiden UMNO itu fitnah,” tegasnya.

Namun dalam kenyataan Kian Ming pula, beliau menjelaskan program ziarah itu dibuat secara terancang selepas pemimpin DAP itu memberi maklumat mengenai mahasiswa tersebut yang menghidapi kanser tahap empat.

Setelah menerima berita ini, beliau (Noraini) menghubungi Naib Canselor (VC) UKM, Prof Datuk Mohd Ekhwan Toriman (VC paling rendah hati yang pernah saya temui), untuk mendapatkan maklumat tentang pelajar ini.

“Sebelum ini , saya mendapati berita bahawa seorang pelajar PhD di UKM (yang di bawah kawasan parlimen saya Bangi) telah dikesan dengan kanser tahap empat. Saya kongsi berita ini dengan Datuk Noraini Ahmad dalam kapasiti beliau sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

“Setelah menerima berita ini, dia menghubungi VC UKM, Prof Ekhwan untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai pelajar itu.

“Selepas lawatan ke UKM baru-baru ini ketika Noraini meninjau PPV di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac, beliau mengajak saya untuk melawat pelajar ini yang tinggal berdekatan. Pelajar itu terkejut dengan lawatan menteri bersama VC dan juga Ketua Pengarah Pengajian Tinggi. (Dia juga menyiarkan gambar-gambar ini di laman sosialnya sendiri,” kata Kian Ming di laman sosial Facebook.

Terdahulu, Ahmad Zahid membayangkan pembentukan jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pendedahan terbuka Ahmad Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

Katanya lagi, jajaran baharu itu tidak melibatkan PN yang ada sekarang bagaimanapun beliau tidak mendedahkan parti yang akan bersama dalam gabungan baharu itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN