Neelofa, suami didakwa di mahkamah esok - Utusan Malaysia

Neelofa, suami didakwa di mahkamah esok

NEELOFA dan PU Riz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selebriti popular, Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd. Ismail akan didakwa di mahkamah esok berhubung perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada 2 Mei lalu.

Menurut sumber mahkamah, pasangan itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Dua, Kompleks Mahkamah Seremban di sini pada pukul 9 pagi esok atas kesalahan melanggar SOP dengan merentas negeri ke Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai di sini untuk membeli karpet.

Jelas sumber, kedua-dua mereka akan didakwa di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Mohd. Fazley Ab. Rahman dihubungi berkata, pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Mohd. Fazley memberitahu, siasatan dijalankan memandangkan isu gambar dan video melibatkan Neelofa dan Muhammad Haris itu melanggar SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021.

Turut diambil keterangan ialah pemilik premis serta pembantu kedai karpet tersebut.

Neelofa sekali lagi menjadi bualan hangat netizen selepas didakwa merentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk membeli karpet dan netizen mempersoalkan bagaimana dia boleh nerentas negeri semata-mata untuk membeli barang perhiasan rumah.

Perkara tersebut mula menjadi bualan selepas Neelofa memuat naik sekeping foto dan video di akaun Instagram miliknya yang memaparkan dia dan suami berada di sebuah kedai karpet.

Dalam video yang dikongsi juga, dia dilihat merakam seorang pekerja dan turut mempromosikan kedai tersebut yang terletak di Nilai 3.

Siasatan sebelum ini dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan). dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya