PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan arahan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti perkapalan di pelabuhan sudah dikuat kuasakan sejak 28 April lalu bagi mencegah wabak varian Covid-19 dari India daripada memasuki Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara itu sudah dijelaskan pada sidang televideo bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan pelbagai pihak berkuasa pelabuhan pada 26 April lalu.
Beliau berkata, antara SOP ditetapkan adalah anak kapal daripada semua kapal yang berlabuh di semua pelabuhan dalam Malaysia tidak dibenarkan sign off (turun daripada kapal), tanpa mengira warganegara mereka.
“Arahan itu dikuatkuasakan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan bagi membendung penularan wabak.
“Bagaimanapun, pengecualian hanya diberikan kepada warganegara Malaysia dan mereka juga diwajibkan kuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang ditentukan oleh kerajaan mengikut SOP ketat.
“Kapal yang didapati atau disyaki membawa gejala Covid-19 perlu menjalani kuarantin 14 hari setelah semakan ke atas dokumentasi atau pemeriksaan Maritime Declaration of Health oleh Kementerian Kesihatan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, mana-mana kapal termasuk dari negara India tidak perlu dikuarantin di laut selagi mereka mendapat kebenaran daripada kementerian berkenaan untuk berlabuh.
Ka Siong berkata, semua pekerja di dermaga pula perlu menggunakan peralatan pelindung diri (PPE) yang diluluskan seperti pelitup muka dan sarung tangan pakai buang semasa bekerja di kapal.
Menurutnya, pekerja di pelabuhan yang tidak bekerja di dermaga adalah tidak dibenarkan memasuki kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan Malaysia tanpa kelulusan KKM.
“Semua operasi kargo sama ada di atas dek utama atau ruangan kargo boleh dijalankan oleh pekerja pelabuhan (seperti pekerja lashing dan stevedore) tanpa sebarang interaksi dengan anak-anak kapal.
“Setiap pengemudi kapal yang menjalankan operasi atau merapat ke dermaga dikehendaki mematuhi SOP ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan termasuklah memakai PPE dan pelitup muka,” katanya.
Katanya, pengendalian kargo bagi semua kapal asing dari mana-mana negara di seluruh pelabuhan Malaysia perlu mematuhi SOP ditetapkan oleh KKM dan JLM.
Jelas Ka Siong lagi, JLM juga akan saling berkomunikasi dengan semua pihak berkuasa pelabuhan yang berkaitan SOP serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh semua kapal yang beroperasi di negara ini.- UTUSAN ONLINE










