MEF tolak PKP penuh, boleh bunuh ekonomi - Utusan Malaysia

MEF tolak PKP penuh, boleh bunuh ekonomi

SHAMSUDDIN BARDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majikan-maji­kan swasta di negara ini bimbang perniagaan mereka bakal lingkup sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh dikuatkuasakan di seluruh negara bagi mengekang peningkatan kes wabak Covid-19.

MEF meramalkan majikan-majikan akan menanggung kerugian lebih RM2.4 bilion jika langkah ketat itu dilaksanakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan menyokong penuh usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19, namun menyifatkan PKP penuh hanya akan membunuh ekonomi negara.

Bukan itu sahaja, beliau khuatir akan ada banyak syarikat gulung tikar dan pekerja sekali lagi perlu berdepan risiko hilang sumber pendapatan dan pekerjaan.

“Kita perlu ingat, PKP 1.0 dahulu memberi kesan cukup besar kepada majikan, pekerja dan pengguna. Kerajaan ketika itu hanya membenarkan industri perlu sahaja beroperasi, menyebabkan kerugian RM2.4 bilion sehari, jauh beza dengan kerugian RM300 juta sehari yang dicatatkan selepas itu.

“Majoriti syarikat di Malaysia adalah syarikat mikro, mereka beroperasi dengan pekerja yang sedikit. Jika PKP penuh dilaksanakan, dikhuatiri kerugian lebih RM2 bilion akan berulang lagi dan kemungkinan banyak syarikat tidak dapat bertahan dan terpaksa menghentikan operasi, sekali gus memberi kesan kepada pekerja,” katanya.

Justeru, Shamsuddin berkata, adalah lebih baik kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, berbanding sekadar menutup ekonomi sepenuhnya.

“Meskipun SOP sedia ada sudah cukup ketat, tetapi masih ada kluster dan bilangan kes masih tinggi. Sepatutnya pematuhan penjarakan fizikal perlu dilihat semula, malah majikan perlu biasakan dengan pekerja bekerja dari rumah, bergantung kepada keperluan syarikat ma­sing-masing, ” katanya.

Pada masa sama, Shamsuddin juga berharap proses vaksinasi Covid-19 dipercepatkan sebagai satu cara untuk memulihkan ekonomi negara.

“Kerajaan telah membenarkan kerajaan-kerajaan negeri membeli vaksin Covid-19, tetapi proses ini perlu dipercepatkan bagi mengembalikan keyakinan terhadap ekonomi negara.

“Banyak syarikat yang telah memohon dan berdaftar dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan vaksin, dengan ada kerajaan negeri yang beli berjuta-juta dos vaksin, ini menunjukkan mereka amat peka dengan kebajikan pekerja dan ekonomi semasa,” katanya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN