Mangsa kemalangan tren boleh mohon bantuan Perkeso - Utusan Malaysia

Mangsa kemalangan tren boleh mohon bantuan Perkeso

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan disahkan mengalami kes bencana kerja, berkelayakan menerima bantuan faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, mangsa kemalangan terdiri daripada orang bekerja sendiri (OBS) layak memohon faedah-faedah Perkeso jika kemalangan tersebut berlaku sewaktu mereka menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri atau dalam perjalanan pergi bekerja atau balik ke rumah.

Katanya, OBS bagaimanapun harus berdaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta 789.

“Antara manfaat yang disediakan kepada mangsa kemalangan yang layak di bawah kedua-dua akta tersebut adalah rawatan perubatan percuma di klinik panel Perkeso atau klinik dan hospital kerajaan menerusi Faedah Perubatan.

“Selain itu, mereka yang diberi cuti sakit dengan pengesahan doktor akan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, jika terdapat mangsa yang disahkan mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan hilang upaya kekal akibat kemalangan tersebut, mereka akan
dibantu dengan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK).

“Mangsa juga dibantu dengan kemudahan pemulihan jasmani iaitu bekalan alat-alat prostetik, ortotik dan ortopedik seperti kaki dan tangan palsu, kerusi roda, tongkat dan kasut khas, “katanya.

Jelasnya lagi, majikan atau ahli keluarga mangsa diseru supaya segera mengemukakan tuntutan permohonan faedah di mana-mana pejabat Perkeso berdekatan mengambil kira keadaan mangsa yang cedera dan mungkin sedang menjalani rawatan.

“Kementerian dan Perkeso komited untuk memproses tuntutan faedah daripada mangsa-mangsa kemalangan terbabit dan memastikan segala bantuan disalurkan dengan kadar segera.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk menzahirkan rasa simpati kepada mangsa kemalangan dan berharap agar semua mangsa segera pulih daripada kecederaan yang dialami,” katanya.

Untuk sebarang urusan dan pertanyaan lanjut, sila hubungi nombor careline Perkseo di 1-300-22-8000 atau e-melkan kepada [email protected]. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya