Kementerian gagal kawal harga dedak punca daging melambung - Utusan Malaysia

Kementerian gagal kawal harga dedak punca daging melambung

Gambar hiasan - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang didakwa gagal mengawal kenaikan harga dedak menjadi punca harga daging lembu tempatan naik mendadak pada musim Ramadan dan dijangka berlarutan hingga Hari Raya Aidilfitri.

Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kenaikan harga makanan haiwan ruminan itu memberi kesan langsung kepada penternak yang kemudian mempengaruhi harga daging lembu tersebut.

Menurut beliau, harga dedak telah meningkat sebanyak RM2.50 bagi berat 50 kilogram (kg) pada minggu lalu.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan harga dedak yang dijual di pasaran kini mencecah RM75 bagi berat 50 kg.

“MAFI sepatutnya lebih proaktif mengawal harga dedak daripada terus melambung sehingga membebankan penternak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau memberitahu, susulan harga dedak itu, daging lembu tempatan melonjak melepasi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang dikuat kuasa pada 21 April lalu.

Mengikut aduan, peruncit menjual daging lembu tempatan pada harga RM37 hingga RM40 sekilogram iaitu melebihi SHMMP iaitu RM34 sekilogram.

“Peruncit mendakwa mereka terpaksa menjual harga yang lebih tinggi berbanding SHMMP untuk mengelakkan kerugian kerana harga yang diterima daripada pemborong tinggi,” ujarnya.

Katanya, Cake juga tidak menolak kemungkinan harga dedak akan terus meningkat dalam tempoh terdekat sekiranya Kementerian Pertanian tidak mengambil tindakan drastik mengawal harga makanan haiwan ruminan itu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi mendakwa kenaikan harga makanan haiwan ternakan di negara ini berpunca daripada kekurangan bekalan isi rung kelapa sawit yang merupakan antara bahan kandungan dalam makanan haiwan.

Beliau berkata, kekurangan isi rung berlaku apabila syarikat pengeluar bahan tersebut mengeksport ke luar negara.

Tambahnya, keadaan tersebut menyebabkan harga makanan haiwan itu didapati meningkat antara tiga hingga lima peratus sejak kebelakangan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN