Leka berhibur, langgar SOP, 15 individu dikenakan kompaun RM1,500 - Utusan Malaysia

Leka berhibur, langgar SOP, 15 individu dikenakan kompaun RM1,500

SERAMAI 15 daripada 22 individu dikenakan kompaun di sebuah premis hiburan di Bahau, Jempol malam semalam.-FOTO/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Leka berhibur tanpa penjarakkan sosial di sebuah premis hiburan di Bahau dekat sini, 15 individu dikenakan kompaun RM1,500 ekoran melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kesemua mereka diambil tindakan dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota polis, dua anggota Angkatan Pertahanan Awam dan empat kakitangan Majlis Perbandaran Jempol (MPJL).

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, ketika serbuan terdapat 22 individu mengunjungi premis hiburan tersebut iaitu terdiri daripada 19 lelaki dan tiga perempuan berusia antara 22 hingga 45 tahun.

“Selain pengunjung berkenaan, tindakan kompaun sebanyak RM25,000 juga dikenakan ke atas premis tersebut atas kesalahan aktiviti dalam pub dan kelab malam.

“Kesemua yang dicekup telah diambil ujian saringan dadah dan hasil ujian mendapati seorang pengunjung positif dadah jenis morphine manakala selebihnya negatif dadah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Chang Hook berkata, dalam operasi berkenaan, keseluruhan jumlah kompaun dan rampasan peralatan berkaitan di premis berkenaan adalah bernilai sebanyak RM55,000.

Menurutnya, selain itu, pihak MPJL juga telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM5,000 ke atas premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dibawah enakmen hiburan dan tempat-tempat hiburan 1998 (6 (1).

“Operasi lebih tegas akan diambil khusus bagi premis hiburan yang jelas ingkar SOP PKPP di Negeri Sembilan khususnya di daerah ini bagi memastikan pematuhan terhadap SOP sentiasa di tahap tinggi,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.