PETALING JAYA: Kira-kira 80 peratus petugas sukarelawan program Vaccine Support Volunteers (myVAC) yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara telah menerima vaksin.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata, peserta program itu diwajibkan disuntik vaksin sebelum dibenarkan bertugas di mana-mana PPV.
“Dianggarkan seramai 13,455 belia telah berdaftar menjadi sukarelawan myVAC sehingga hari ini, dengan 1,306 sukarelawan telah bertugas di PPV seluruh Malaysia.
“Kita menjangkakan hampir semua sukarelawan ini akan bertugas dalam fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya selepas melawat PPV di Pangsapuri Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kapar di sini hari ini.
Terdahulu, Wan Ahmad Fahysal turut mengadakan lawatan di sebuah lagi PPV iaitu di Dewan Sukan Pandamaran di sini bagi melihat pelaksanaan pemberian vaksin kepada orang awam.
Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan seramai 12,831 belia telah mendaftar untuk menjadi sukarelawan dalam program tersebut sejak ia diperkenalkan Februari lalu.
Beliau berkata, program itu dilancarkan bagi mencari sukarelawan yang ingin membantu pegawai kesihatan di PPV supaya PICK dapat berjalan lancar. – UTUSAN ONLINE










