GEORGETOWN: Seramai 25 individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di kompleks Midlands, Jalan Burma, di sini awal pagi tadi.
Mereka yang terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta tiga wanita warga asing itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah negeri.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, tangkapan itu juga termasuk enam lelaki warga tempatan yang merupakan pekerja di premis tersebut manakala saringan ujian air kencing mendapati sembilan daripada mereka positif dadah.
“Operasi ini dijalankan hasil maklumat awam serta risikan dan meskipun premis berkenaan mempunyai lesen perniagaan dan hiburan sah, namun telah melakukan kesalahan kerana beroperasi dalam tempoh PKP,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas Rahimi, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai permit atau pas yang sah.
Mereka yang positif dadah pula tambah beliau, akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu Rahimi menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan agresif secara berterusan ke atas semua aktiviti haram dan terlarang bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dalam aktiviti sedemikian dan kita mengalu-alukan sebarang maklumat daripada masyarakat sekiranya mengetahui sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti haram yang dilakukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










