Lagi 5 lokaliti dikenakan PKPD - Utusan Malaysia

Lagi 5 lokaliti dikenakan PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak lima lokaliti berbeza di negara ini bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak bermula Khamis ini antaranya ialah Mukim Bagan Serai di Daerah Kerian, Perak susulan 53 kes positif Covid-19 yang direkodkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kes semasa didapati bertaburan dalam mukim dan tidak tertumpu di satu kawasan dengan kadar kebolehjangkitan pula adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD itu dijangka dapat mengurangkan pergerakan penduduk dalam dan luar mukim serta aktiviti merentas ke negeri jiran sama ada ke Kedah atau Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dikenakan arahan sama berkuat kuasa 27 Mei sehingga 9 Jun depan kata beliau, ialah Felda Redong 1 di Mukim Labis, Daerah Segamat, Johor ekoran wabak menular di lokaliti ini yang sehingga kini sebanyak 67 individu disahkan positif hasil ujian saringan ke atas 361 orang penduduk.

Sementara itu di Sarawak pula katanya, tiga lokaliti dikenakan PKPD iaitu Rumah Panjang Isa Anak Blone, Rumah Panjang Ben Anek Kuleng dan Sekolah Kebangsaan Telok Gelam.

“Sejumlah 12 kes baharu wabak Covid-19 disahkan daripada 153 ujian saringan di tiga kawasan berkenaan yang terletak di Daerah Daro, Bahagian Mukah,” kata Ismail Sabri lagi.

Beliau juga memaklumkan, sebanyak 12 lagi lokaliti berbeza di seluruh negara ditamatkan PKPD secara serentak mulai esok susulan trend penurunan kes dan kluster adalah terkawal.

Antaranya ialah di Ulu Lepar, Mukim Gali, Daerah Raub, Pahang manakala di Sarawak melibatkan Rumah Panjang Dinggai di Sungai Amut Atas, Pakan, Bahagian Sarikei dan tapak pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh, Bahagian Kapit.

Begitu juga Maktab Rendah Sains Mara Pengkalan Hulu di Daerah Hulu Perak, Perak selepas kesemua 324 kes positif di institusi pendidikan itu kata Ismail Sabri, telah berjaya dirawat.

Juga lima penempatan di sekitar Sungai Klau dan tiga perkampungan di Mukim Tras dalam Daerah Raub, Pahang yang akan ditamatkan PKPD seperti telah dijadualkan pada esok.

“Di Sungai Klau, ia melibatkan Taman Sungai Klau, Taman Maju Sungai Klau, Taman Kelau Jaya, Taman Harmoni dan Kampung Sungai Klau apabila cuma 12 kes direkodkan,” jelasnya.

Manakala di Mukim Tras tambah beliau, ia membabitkan Kampung Baru Tras, Kampung Sungai Cheetang dan Kampung Sang Lee apabila hanya 26 kes dicatatkan di lokaliti tersebut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN