Kontak rapat wajib pakai peranti pengawasan - Utusan Malaysia

Kontak rapat wajib pakai peranti pengawasan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bermula minggu hadapan, semua kontak rapat bakal diwajibkan memakai peranti pengawasan bagi tujuan pengesanan pergerakan mereka dengan lebih terperinci.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagaimanapun hanya melibatkan individu diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah atau HSO.

“Kaedah ini seumpama pemakaian gelang berwarna tertentu di pergelangan tangan bagi yang diarahkan kuarantin di kediaman masing-masing,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau namun tidak menyatakan dengan lebih lanjut mengenai perkara itu, tetapi ia jelas merujuk individu terbabit mengelak aplikasi MySejahtera apabila memasuki premis tertentu.

Mereka sebaliknya lebih gemar menulis butiran diri secara manual di buku log disediakan dengan nombor telefon yang tidak begitu terang bagi meloloskan diri dikesan pihak berkuasa.

Ketika ini, peranti elektronik sedemikian digunakan pihak polis terhadap bekas pesalah sejak 2016 di seluruh negara bagi memastikan mereka tidak mengulangi jenayah beberapa kali.

Alat canggih itu melibatkan bekas banduan jenayah berat sebelum dibebaskan dari hukuman penjara dan ia mudah dikesan oleh pusat kawalan utama polis sepanjang 24 jam sehari.

Pada masa sama, pihak polis sudah diarahkan untuk meningkatkan aspek pemantauan serta penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan ‘panas’

“Zon lapangan ini sudah pun boleh dikenal pasti menerusi sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) dibangunkan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Ismail Sabri turut menegaskan bahawa mereka yang mahu merentas negeri perlu mempunyai alasan yang kukuh sebelum borang permohonan mereka dapat diluluskan oleh pihak polis.

Langkah penapisan ketat ujar beliau, wajar dilakukan kerana dianggarkan lebih 40,000 borang permohonan diterima pada setiap hari dan ada dikesan cuba menipu bagi merentas negeri. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.