BUKIT MERTAJAM: Sebuah kilang pemerolehan semula minyak terpakai di Bukit Minyak dekat di sini digantung lesen dan dikenakan 321 kompaun berjumlah RM642,000 selepas didapati mengakibatkan pencemaran sisa minyak ke parit awam.
Selain itu premis tersebut diarahkan melakukan pembersihan serta-merta dengan menyedut dan membersihkan sisa-sisa minyak yang berada di dalam longkang awam bagi mengelakkan impak yang lebih serius.
Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, tindakan tegas itu diambil susulan maklumat orang awam pada 30 April lalu yang membuat aduan mengenai pencemaran bau dari longkang di kawasan terbabit.
Jelas beliau, siasatan pihaknya pada hari sama dan sehari kemudian menemukan lapisan minyak di dalam parit awam di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak.
“Siasatan lanjut mendapati pencemaran tersebut berpunca daripada salah satu premis pemerolehan kembali buangan terjadual yang menjalankan aktiviti pemprosesan buangan berminyak berhampiran lokasi tersebut.
“Pihak premis didapati tidak melakukan penstoran dengan sempurna dan meletakkan buangan-buangan terjadual di kawasan terbuka sehingga menyebabkan berlaku pelepasan buangan berminyak ke parit awam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas Sharifah Zakiah, premis itu didapati gagal mematuhi syarat-syarat lesen seperti ditetapkan di bawah Seksyen 16, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977 selain gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“JAS Pulau Pinang memandang serius keperluan pematuhan segala peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan buangan terjadual oleh semua pihak termasuk pengeluar buangan (WG), kontraktor (transporter) dan kemudahan pengolahan buangan terjadual (receiver).
“Sebarang kegagalan akan dikenakan tindakan perundangan yang tegas tanpa sebarang kompromi kerana pencemaran ini bukan sahaja membahayakan alam sekitar tetapi turut mengancam keselamatan kilang-kilang lain serta penduduk sekitar berdekatan,” katanya.
Jelasnya, penyimpanan buangan terjadual seperti sisa minyak dan pelarut yang mudah meruap secara terdedah bukan sahaja mencemar alam sekitar malah berpotensi menyebabkan kebakaran di bawah cuaca panas dan mudah merebak ke premis-premis lain.
Sehubungan itu kata beliau, pihaknya menyeru setiap premis yang berada di dalam sesuatu kawasan industri turut menjadi mata dan telinga dengan melaporkan ketidakpatuhan premis berdekatan mereka bukan sahaja bagi menjaga alam sekitar malah untuk memastikan keselamatan premis masing-masing.
“Tindakan yang tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang gagal menguruskan buangan terjadual secara sempurna. Tindakan juga akan diambil jika gagal mematuhi mana-mana peruntukan perundangan lain,” katanya.










