PASIR SALAK: Bekas Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dinamakan sebagai calon UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Jika hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus buntu, bermakna Khairul Azwan atau Azwan Bro akan berdepan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik dari Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang menang PRU-14 atas tiket Barisan Nasional (BN) namun kemudiannya menyertai Bersatu.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, beliau mencadangkan Khairul Azwan sebagai calon UMNO di DUN Sungai Manik dan menjangkakan tiada masalah untuk diterima pucuk pimpinan parti.
Menurutnya, Khairul Azwan yang merupakan Timbalan Ketua UMNO bahagian diterima oleh jawatankuasa UMNO bahagian, cawangan dan rakyat.
“Untuk PRU-15 saya sudah buat keputusan menamakan beliau sebagai calonnya dan berharap pucuk pimpinan parti menerima pencalonan saya ini. Saya tak nampak ada masalah kerana nama yang saya cadangkan ini, semua orang terima.
“Kalau pemimpin itu sudah diterima bermakna dia calon yang layak. Pengundi, rakyat juga menerimanya, itu kriteria penting untuk menjadi calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian bantuan hari raya kepada asnaf Parlimen Pasir Salak di Dewan Besar Pekan Rabu di sini hari ini.
Tajuddin berkata, beliau juga menamakan penyandang kerusi DUN Kampung Gajah, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin yang juga Exco kerajaan negeri sebagai calon UMNO di kerusi yang sama dalam PRU-15.
“Khairul Azwan dan Dr. Wan Norashikin merupakan dua nama yang semua orang terima,” katanya.
Sementara itu, Tajuddin dijangka terus bertanding dalam PRU-15 di Parlimen Pasir Salak.
“Untuk kerusi Parlimen (Pasir Salak), nanti kita tengok siapa yang hendak. Kalau ada yang layak bolehlah ambil alih daripada saya dan boleh kita namakan tapi tengok sekarang belum ada nama yang diberi.
“Saya tak berani nak sebut nama saya (akan bertanding), sebab tak ada lagi orang mencadangkan nama saya,” katanya.










