SHAH ALAM: Anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC) bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung insiden kesesakan pengunjung di Kompleks PKNS Shah Alam yang berlaku baru-baru ini.
PKNS PREC dalam kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya terdapat individu atau peniaga yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika mengunjungi kompleks perniagaan itu.
“Kita telah mengambil beberapa langkah keselamatan untuk memastikan semua pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak kerajaan. Antaranya menyediakan lima laluan keluar dan masuk bagi mengelak berlakunya pertembungan secara beramai-ramai.
“Malah, pemantauan secara berkala daripada anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis juga turut dilakukan bagi memastikan keadaan terkawal, selain mengupah pihak keselamatan luar,” katanya dalam kenyataan itu.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Kompleks PKNS dipenuhi pengunjung sehingga tidak ada penjarakan fizikal.
Tinjauan di Kompleks PKNS juga mendapati, orang ramai teruja membeli-belah di Bazar Aidilfitri di kompleks itu sehingga terdapat pengunjung didapati membawa anak-anak kecil dan tidak memakai pelitup muka semasa membeli keperluan hari raya.
Tambah PKNS PREC, pihaknya berharap orang ramai mematuhi peraturan yang dibuat bagi mengelak berlakunya penyebaran virus Covid-19 di dalam kompleks itu.










