JOHOR BAHRU: Jumlah kes positif membabitkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menurun kepada 30 kes berbanding 57 kes positif yang direkodkan sebelum ini.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ahmad Fauzi Ismail berkata, kesemua 3,240 individu termasuk penuntut, ahli keluarga, kakitangan, petugas serta polis bantuan telah menjalani ujian calitan Covid-19 di kampus itu.
“Kita berharap kadar jangkitan ini dapat dilandaikan menjelang 3 Jun ini seterusnya UTM bebas daripada PKPD,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Gerak Kerja Operasi Sanitasi Awam Covid-19 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Datuk Yahaya Madis dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid.
Ahmad Fauzi berkata, kesemua 30 pesakit yang positif Covid-19 dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pasir Gudang.
Jelas beliau, kesemua mereka yang masih berada di kawasan UTM dibekalkan bantuan makanan serta keperluan harian yang turut diperoleh hasil sumbangan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Mereka yang masih dikuarantin ini terkesan daripada emosi namun Alhamdulillah dalam keadaan stabil. Kita juga berasa syukur banyak pihak yang prihatin dengan keadaan mereka di sini.
“Selain itu, pihak universiti juga turut melancarkan Tabung Prihatin Covid-19 bagi membuat kutipan untuk membantu mereka yang memerlukan dengan jumlah kutipan setakat ini RM162,302.
Sementara itu Yahaya berkata, operasi bersepadu sanitasi awam berskala besar di UTM melibatkan keseluruhan 75 keanggotaan daripada pelbagai agensi bagi mengekang penularan Covid-19 di kawasan PKPD terbabit.
“Sebelum ini, kita sudah membuat sanitasi awam di beberapa lokasi di dalam UTM. Namun, susulan pertambahan kes Covid-19, Ketua Pengarah JBPM dalam sesi mesyuarat pada Khamis lalu meminta kita buat semula secara menyeluruh dan berskala besar.
“Ia melibatkan beberapa kawasan tumpuan antaranya pusat ujian calitan iaitu di masjid UTM, asrama pelajar dan tempat kuarantin. Langkah ini bagi mengurangkan dan menyekat penularan Covid-19,” katanya.
Yahaya berkata, sebelum ini program sanitasi awam berskala besar diadakan di kawasan PKPD di Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam dan Kampung Sinaran, Kempas di sini, selain pasukan bomba menjalankan sekurang-kurangnya 15 operasi sanitasi pada setiap hari sama ada di pejabat kerajaan, kawasan ibadat dan sekolah atau institusi.