KOTA KINABALU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri empat keluarga di Tawau mencetuskan kluster baharu yang menyumbang kepada peningkatan kes positif baharu Covid-19 di Sabah.
Hari ini, kes positif baharu meningkat kepada tiga angka iaitu 160 kes, berbanding 95 kes semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun menerusi ciapan Twitternya menyatakan kes Sabah melonjak naik kepada 160 kes positif berikutan pengesanan tiga kluster baharu.
Katanya, kluster Kg Pagar Sg Imam menjadikan kes positif di Tawau meningkat kepada 54 kes manakala, acara merestui perkahwinan di Kg Kolopis mencetuskan kluster baharu dan menyebabkan kes positif di Penampang meningkat kepada 13 kes, berbanding tiga kes positif semalam.
Kluster baharu turut dilaporkan di Lahad Datu yang mengakibatkan kes di daerah itu meningkat kepada 29 kes berbanding hanya lima kes semalam.
Tambahan 160 kes positif baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di Sabah sebanyak 59,664 kes. – UTUSAN ONLINE