DARI segi geografik, kedudukan Malaysia dikelilingi perairan meliputi zon ekonomi eksklusif (ZEE) dan juga kawasan hutan bersempadan dengan beberapa negara.
Ini semestinya membuka ruang kepada aktiviti keluar masuk secara haram dan penyeludupan yang boleh memberi implikasi kepada ekonomi serta sosial.
Justeru, kerajaan telah mengaktifkan Op Benteng di bawah Pasukan Petugas Khas (NTF) sejak Mei tahun lalu bagi mengekang segala anasir luar.
Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata, objektif utama penubuhannya adalah sebagai medium pelaporan maklumat Op Benteng kepada pengurusan strategik.

Selain itu katanya, penubuhan NTF juga dapat memantau pelaksanaan operasi setiap komponen darat, laut dan udara selain menyelaras operasi secara bersepadu bagi mengukuhkan kawalan sempadan negara untuk mencegah kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sekali gus mengelakkan penularan wabak Covid-19.
“Kita perlu sedar operasi sebelum ini dalam satu kawasan yang sama dengan melibatkan pelbagai agensi. Namun ia tidak dikoordinasikan dan ada pertindihan sehingga membuang duit kerajaan. Jadi Op Benteng menyelaraskan tugas semua agensi yang terlibat. Prosedur operasi standard (SOP) begini, apabila Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Maritim Malaysia dapat mengesan satu bot dan dimaklumkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk memintas.
“Sebaik sahaja tangkapan dibuat, TLDM hantar pada Tentera Darat untuk proses dokumentasi seterusnya kakitangan Kementerian Kesihatan dipanggil untuk membuat ujian swab. Sebaik sahaja proses berkenaan selesai, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengambil maklumat untuk dibuat proses pendakwaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk dihantar ke depot tahanan. Jadi semuanya dilaksanakan dalam tempoh kurang 24 jam berbanding proses sebelum ini yang kadang kala memakan masa beberapa hari,” katanya kepada pemberita baru baru ini.
Tambah Aris Tan, walaupun NTF disifatkan baharu , banyak kejayaan diperoleh dengan nilai rampasan lebih RM450 juta membabitkan banyak tangkapan sama ada PATI mahupun penyeludup.
“Sejak penubuhan NTF sebanyak 7,985 kes tangkapan dilaksanakan termasuk kes tangkapan PATI berakhir 30 April tahun ini iaitu sebanyak 5,009 laporan melibatkan seramai 13,480 orang PATI dan 1,026 orang tekong.
“Kemasukan tertinggi adalah dari kalangan warganegara Indonesia seramai 6,347 orang; Myanmar 1,753 orang; China 922 orang, Bangladesh 906 orang dan pelbagai -negara lain. Bagi kes penyeludupan pula kini sebanyak 622 orang penyeludup telah ditangkap melibatkan 392 buah kapal dan bot di samping 1,778 buah kenderaan darat,” jelasnya.
NTF ditubuhkan pada 1 Mei dan pengoperasiannya pada 6 Mei dengan membabitkan kerjasama 19 agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Dalam pada itu, Aris Tan berkata, di sebalik kejayaan yang dicatatkan NTF, pihaknya turut berdepan dengan beberapa cabaran. Menurutnya, antara cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi adalah modus operandi PATI dan penyeludupan yang sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan semasa.
“Selain itu, keadaan muka bumi negara kita yang luas juga menyebabkan sempadan negara mudah dibolosi. Malah mengikut Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2018, aktiviti kawalan keselamatan dan penguatkuasaan sempadan darat dan maritim Malaysia masih belum mencapai tahap kecekapan optimum kerana disebabkan oleh beberapa faktor seperti kekurangan aset, isu kurang koordinasi di antara agensi dalam penguatkuasaan berhubung perkongsian maklumat.
“Bagaimanapun, NTF akan mengambil positif semua cabaran ini dan akan melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan kolaborasi bersepadu antara semua agensi kawalan keselamatan sempadan dilaksanakan dalam usaha membanteras kemasukan PATI dan kegiatan penyeludupan di sempadan negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE









