GEORGETOWN: Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri perlu berbincang supaya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat disemak semula dengan arahan dan dasar pelaksanaan yang lebih jelas.
Presiden Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Najmudeen Kader berkata, perkara itu bagi memastikan negara dapat mengurangkan kesan ekonomi akibat pelaksanaan PKP seperti yang sedang dihadapi ketika ini.
Jelas beliau, pihaknya yakin Majlis Keselamatan Negara (MKN); Kementerian Kesihatan (KKM); Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dan agensi-agensi berkaitan mempunyai kepakaran profesional untuk menyediakan dasar SOP yang lebih ketat dalam membendung dan memerangi varian baru Covid-19 yang cepat merebak.
Tambahnya, Liga Muslim mewakili sebahagian besar sektor pekerjaan perindustrian kecil (SME) memahami keperluan mendesak untuk meneruskan ekonomi sambil melindungi nyawa yang berharga.
“Membendung virus ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan kerjasama semua rakyat termasuk warga asing.
“Orang ramai perlu bersama-sama kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dengan berdisiplin mematuhi SOP ditetapkan.,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan membuka dan membenarkan pendaftaran vaksin kepada hospital dan klinik swasta supaya rawatan pesakit Covid-19 dapat disegerakan dan proses melindungi rakyat akan berjalan secepat mungkin.
Dalam masa sama tambahnya, sektor ekonomi memerlukan sokongan asas dari segi bantuan kewangan berterusan sekiranya kerajaan memutuskan melaksanakan PKP lebih ketat.
“Ini termasuk lanjutan moratorium selama setahun dan sokongan penangguhan pembayaran cukai pendapatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











