Kerajaan Johor perlu buat saringan skala besar - Utusan Malaysia

Kerajaan Johor perlu buat saringan skala besar

LIOW CAI TUNG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri diminta melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara percuma pada skala besar-besaran khususnya di kawasan yang melibatkan kluster aktif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, inisiatif itu boleh dilaksanakan menerusi kerjasama penyedia penjagaan kesihatan, KPJ Healthcare yang dimiliki Johor Corporation Bhd. (JCorp) iaitu anak syarikat kerajaan negeri.

Katanya, langkah itu penting untuk mengesan jangkitan awal wabak tersebut dalam komuniti sekali gus mengekang penularannya.

“Jika KPJ dapat membantu kerajaan negeri mengadakan saringan Covid-19 pada skala besar, ia akan dapat menyekat rantaian jangkitan dengan lebih efektif.

“Saringan besar-besaran dipercayai akan mengesan lebih banyak kes namun orang ramai tidak perlu panik kerana dengan cara ini, baru kerajaan dapat memastikan Covid-19 di Johor terkawal,” katanya.

Menurut statistik kes jangkitan sepanjang 14 hari lalu, kluster aktif di Johor tertumpu di daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Muar, Kulai dan Kluang.

Tambah Cai Tung yang juga Setiausaha Publisiti DAP Johor, KPJ mempunyai tujuh buah hospital di negeri ini yang menawarkan perkhidmatan kesihatan yang sangat baik.

“Dengan saringan skala besar, KPJ juga dapat bersiap sedia melakukan vaksinasi besar-besaran kepada rakyat Johor pada masa akan datang.

“Memandangkan fasiliti Kementerian Kesihatan tidak lagi dapat menangani virus Covid-19 dengan berkesan disebabkan jumlah kes tinggi, kerajaan negeri patut bekerjasama dengan KPJ untuk memikul tanggungjawab sosial besar ini.

“Ujian saringan Covid-19 secara percuma boleh dijalankan dengan pembiayaan kerajaan negeri melalui fasiliti dan tenaga kerja KPJ,” jelasnya.

Cai Tung berkata, langkah itu turut diambil kerajaan negeri Selangor yang melancarkan program saringan besar-besaran khususnya di kawasan yang merekodkan banyak kluster aktif.

“Ketika jangkitan semakin meningkat dan perkhidmatan perubatan awam hampir lumpuh, kerajaan negeri perlu menggunakan sumber sedia ada untuk membantu perkhidmatan perubatan awam,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN