Kematian Haziq akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat - Utusan Malaysia

Kematian Haziq akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hasil bedah siasat kematian atlet pemanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin disahkan akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis).

Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik selaku Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik, Datuk Dr. Zahari Noor berkata, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisis makmal. 

Namun, beliau menjelaskan, sehingga kini tiada bukti menunjukkan bahawa kematian ini adalah berkaitan langsung dengan vaksinasi Covid-19.

“Kematian mengejut Allahyarham Haziq dibawa ke Hospital Kajang semalam tela h disiasat di bawah Sudden Death Report (SDR) oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di mana arahan bedah siasat telah dikeluarkan untuk menentukan sebab kematian.

“Proses bedah siasat selesai dilakukan setelah calitan ujian Covid-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jenazah Allahyarham Haziq, 28, selamat dikebumikan di kampung halaman isterinya di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat di Jasin, Melaka kira-kira pukul 1.40 pagi tadi.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di surau kampung berkenaan yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat diawasi polis dari IPD Jasin.

Proses bedah siasat di Hospital Kajang, Selangor dijalankan kira-kira pukul 9.30 malam semalam dan jenazahnya dimandikan serta dikafankan di situ.

Haziq disahkan meninggal dunia secara mengejut pagi semalam di rumahnya di Kajang, Selangor.

Allahyarham merupakan anggota skuad memanah recurve kebangsaan sejak 10 tahun dan pernah beraksi dalam Olimpik 2012 di London serta Rio 2016.

Haziq menjadi taruhan negara untuk layak ke temasya Olimpik Tokyo dalam acara berpasukan, seterusnya mengikuti jejak rakan pasukan, Khairul Anuar Mohamad.

Difahamkan Allahyarham membuat permintaan khas untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama isterinya yang bersendirian di rumah mereka di Kajang pada hari pertama perayaan.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN