KUBANG PASU: Lebih 200 penduduk di Sintok di sini, bimbang aktiviti pembalakan, pembukaan tanah pertanian dan perlombongan kuari pasir di Bukit Kachi mengakibatkan kejadian banjir kilat semakin serius di kawasan tersebut selepas hujan lebat.
Penduduk mendakwa, kejadian banjir kilat yang berlaku di Bukit Kachi selepas hujan kira-kira pukul 5 petang Jumaat lalu dikhuatiri menjadi lebih serius sehingga boleh mengancam keselamatan penduduk.
Malah, kawasan tersebut terletak berdekatan dengan kampus utama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang mana situasi tersebut dipercayai turut menimbulkan keresahan pihak pengurusan UUM serta ABM.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk di Sintok, Izuddin Ramizon, 34, berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku selepas hujan lebat kelmarin adalah terburuk pada tahun ini.
Menurutnya, kejadian banjir kilat di Bukit Kachil sebelum ini tidak serius dan berlaku dalam masa singkat sahaja.
“Bagaimanapun banjir kilat semalam (kelmarin} agak serius apabila Jalan Sintok-Kuala Nerang berdekatan dengan UUM dan ABM ditutup lebih tiga jam selepas dinaiki air sedalam kira-kira satu meter dengan jarak sejauh satu kilometer.
“Malah, banjir kilat dengan air keruh itu juga membawa bersama pasir, tanah dan sisa-sisa kayu balak,” katanya di sini.
Selain itu, dia memberitahu, lumpur banjir kilat tersebut juga melimpah memasuki kawasan ABM.
“Air lumpur itu mengalir dari tapak pembalakan yang terletak di kawasan hutan hadapan ABM.
“Aktiviti pembalakan tersebut baru bermula kira-kira dua bulan lalu dan sebelum ini, pembalakan juga dikesan berlaku di hutan belakang ABM,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali Shah, 40, berkata, aktiviti perlombongan kuari pasir dan pembalakan menyebabkan paras air sungai berdekatan cetek dan melimpah selepas hujan lebat.
“Keadaan sungai tersebut menjadi lebih cetek sekiranya aktiviti pembalakan, pembukaan tanah pertanian dan perlombongan pasir itu tidak terkawal selepas ini,” katanya.
Sementara itu, seorang aktivis alam sekitar, Mahadzir Md. Said, 58, pula berkata, dia kesal aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah pertanian semakin berleluasa di negeri ini dengan pembukaan beberapa kawasan pembalakan baharu sejak kebelakangan ini.
“Lebih mengecewakan kebanyakan kawasan pembalakan yang baru dibuka itu terletak berdekatan dengan kawasan kampung.
“Aktiviti itu dikesan mengakibatkan kejadian banjir lumpur dan kerosakan kolam tadahan air bukit penduduk,” katanya. – UTUSAN ONLINE










