Keahlian PKR meningkat - Utusan Malaysia

Keahlian PKR meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan bekas Ahli Parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin yang menyifatkan PKR sudah mati hanyalah retorik dan tindakan terdesak.

Menegaskan perkara itu, Pengarah Komunikasi PKR Cabang Ampang, Shahrom Hassan berkata, kenyataan itu tidak benar kerana keahlian parti itu kian meningkat berikutan penolakan mereka terhadap kerajaan di atas pengkhianatan yang berlaku.

“Kami memahami kenyataan beliau dengan tajuk rencana ‘PKR Sudah Mati?’ ini tidak lain tidak bukan hanyalah sekadar retorik dan terdesak. Kami percaya, rakyat khususnya di Ampang sedar mengenainya. Rakyat sememangnya menolak pengkhianatan.

“Sokongan daripada rakyat semakin kuat dengan penambahan keanggotaan ahli-ahli dan ranting-ranting baharu, sekali gus membuktikan sokongan rakyat kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR dan Datuk Seri Amiruddin Shari, Menteri Besar Selangor semakin kuat dan kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Zuraida mendakwa PKR sudah hilang arah tuju di bawah pimpinan Presiden parti.

Katanya, parti itu tidak memperlihatkan perjuangan sebenar untuk membela rakyat seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

“Apabila kita menang pilihan raya umum pada 2018, semua seolah-olah tiada lagi dibuat untuk memastikan beliau dapat jadi perdana menteri dan ini yang saya rasa PKR sudah hilang hala tuju,” kata Zuraida dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia bertarikh 10 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Shahrom turut berkata, peningkatan keahlian PKR secara tidak langsung telah menutup kelompongan ahli sebanyak satu peratus yang bertindak mengikut Zuraida selepas Langkah Sheraton lalu.

“PKR Cabang Ampang menegaskan PKR masih utuh di Ampang dan bergerak dengan menumpukan fokus kepada agenda reformasi dan kepentingan rakyat. Ini dapat dilihat melalui pelbagai aktiviti dan program yang telah dijalankan sama ada melalui PKR Cabang Ampang sendiri mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong perjuangan reformasi sejak pasca Langkah Sheraton sehingga kini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya