Kaedah laksana PKP penentu angka pengangguran - Utusan Malaysia

Kaedah laksana PKP penentu angka pengangguran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penutupan sektor tertentu terutama perniagaan perlu dibuat secara bersasar dan berskala kecil semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan trend penurunan kadar pengangguran kekal sehingga hujung tahun ini.

Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Mohd Yusof Saari berkata, ini kerana penetapan dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketika PKP mempengaruhi angka penurunan pengganguran.

Malah menurut beliau, apabila kawalan pergerakan diperketatkan, kadar kehilangan pekerjaan akan bertambah sekali gus meningkatkan kadar pengangguran dan begitu sebaliknya apabila kawalan pergerakan dilonggarkan lebih banyak peluang pekerjaan wujud.

“Data menunjukkan kadar pengangguran Februari lalu menurun kepada 4.8 peratus berbanding 4.9 peratus pada Januari.

“Pada Mac pula kadar pengangguran menurun kepada 4.7 peratus. Apa yang penting ialah walaupun PKP ia perlu memastikan sektor-sektor ekonomi beroperasi,” katanya kupada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, kadar pengangguran negara menurun kepada 4.7 peratus pada Mac lalu dengan 753,200 penganggur direkodkan.

Selain itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan inisiatif penempatan dan kewujudan pekerjaan baharu melalui pelaburan mengatasi sasaran dengan 150,597 pencari kerja berjaya ditempatkan menerusi 12 program.

Sementara itu, Pensyarah ekonomi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Nur Surayya Mohd Saudi berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dijangka menjadi penyumbang kepada trend penurunan kadar pengangguran.

“Namun terlalu awal untuk meramalkan keberkesanan vaksin kerana terdapat banyak kes individu dijangkiti semula.

“Cuma ini adalah langkah terbaik buat masa ini sehingga keadaan benar-benar pulih,” katanya.

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti UCSI, Prof. Madya Dr. Pek Chuen Khee berkata, pembukaan semula sektor pemakanan, pengilangan dan peruncitan banyak menyumbang kepada pertambahan keperluan tenaga kerja.

Menurut beliau, ketiga-tiga sektor tersebut disifatkan sebagai ‘penampan’ kepada dua sektor penting negara yang terkesan akibat wabak Covid-19 sebelum ini iaitu pelancongan dan penerbangan.

“Apa yang penting ialah usaha kerajaan perlu konsisten dan efektif dalam memerangi Covid-19 bagi memastikan peningkatan ekonomi dan pengurangan penganggur berjaya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya